PENGERTIAN HIDUP ;}



LAYANG-LAYANG
Layang-layang tidak akan naik dengan mengikut arus angin, tetapi layang-layang hanya akan naik dengan melawan arus angin. Begitulah juga dengan hidup manusia. Sesiapa yang membiarkan dirinya terpengaruh dengan cabaran dan masalah,ia akan jatuh seperti jatuhnya layang-layang yang mengikut arus angin.Untuk berjaya, anda mesti melawan cabaran dan masalah seperti naiknya layang-layang yang melawan arus angin itu.
PELAKON DRAMA
HIDUP ini adalah sebuah drama. Dunia adalah pentasnya manusia adalah pelakonnya. Allah sebagai pengarahnya. Sebagai pelakon sebuah drama teragung di atas pentas yang luas sudah tentunya manusia perlu mematuhi disiplin yang telah ditetapkan oleh pengarahnya bagi mencapai tahap lakonan yang tinggi mutunya, demi mencapai ketinggian mutu lakonan hidup dan menggembira pengarahnya, manusia perlu menggunakan sebaiknya segala peralatan dan kelengkapan yang telah disediakan. Di antaranya ialah mengamalkan sifat BERANI yang telah disediakan.

RODA
HIDUP ini adalah sebuah perjuangan tanpa noktahnya. Selagi jantung masih berdegup mengepam darah merah di sekeliling tubuh badan, selagi itulah perjuangan hidup perlu diputarkan seperti berputarnya roda untuk bergerak menuju destinasinya. Putaran roda-roda kehidupan akan lenyap, dengan lenyapnya semangat untuk meneruskan perjuangan. Oleh kerana perjuangan hidup terpaksa berdepan dengan roda-roda yang sentiasa berpusing, yang memungkinkan kita menjadi landasan laluannya, hanya yang BERANI sahaja akan sanggup tampil merebahkan dirinya berdepan dengan cabaran, sebelum berdiri tegak muncul sebagai seorang juara.
BAHTERA
HIDUP ini ibarat sebuah bahtera yang sedang belayar di lautan dalam yang bergelora dengan ombak dan gelombang sebagai penghalang pelayarannya. Samada kapal itu besar atau kecil, untuk bergerak ke hadapan ia terpaksa bersedia dilambung ombak dan gelombang yang turun naik. Begitulah juga dengan manusia. Bagi yang ingin terus hidup maju ke hadapan kita perlu bersedia dilambung ombak dan gelombang kehidupan itu sendiri. Kita perlu bersedia dilambung ke atas di puncak ombak dan bersedia dihempas ke bawah di kaki omhak itu. Hanya manusia gagah bergelar si pemberani sahaja yang akan sanggup dilambung dan dihempas dek gelombang kehidupan itu.

PISTON KERETA
HIDUP ini juga ibarat 'piston' kereta. Pergerakan mekanikalnya yang ke atas dan ke bawah akan memungkinkan kereta maju ke hadapan. Tanpanya kereta akan terus terhenti dan tidak ke mana-mana. Hanya manusia berani yang sanggup turun dan naik menghadapi realiti kehidupan sahaja akan dapat memajukan dirinya di dalam apa jua bidang yang diceburinya. Sebaliknya jika ia takut menghadapinya ia tidak akan ke mana-mana. Tiada kemajuan hidup, malahan kemunduranlah yang akan menimpanya.

LAGU
HIDUP ini ibarat lagu. Lagu hanya dianggap sebagai bermakna jika ia didendangkan. Tanpa dendangan, lagu akan hilang nilainya. Adakalanya ia dicemuh kerana kurang mutunya. Dan adakalanya ia disanjung kerana diminati ramai. Bagaimanakah akan anda tahu ia dipuji atau dikeji jika ia tidak didendangkan kepada pendengar? Hanya penyanyi yang berani mencuba menyanyikan lagu tersebut akan berpeluang menerima ganjarannya. Hanya penyanyi yang berani menerima cacian sahaja akan berpeluang pula menerima pujian, walaupun bukan itu yang dicarinya. Hanya manusia berani yang akan sanggup tampil ke muka ramai untuk melakukan apa yang diyakini benar sahaja akan berpeluang dimahkotakan dengan piala kemenangan dan kejayaan.
BERANI
Hanya manusia berani sahaja yang sanggup melawan arus cabaran kehidupan akan berpeluang sampai ke puncak kegemilangan hidup. Hanya manusia berani yang biasanya melakonkan watak-watak bermutu dalam hidup ini dan layak digelar sebagai pelakon hidup terbaik. Hanya manusia berani yang sanggup dilambung dan dihempas gelombang kehidupan akan layak mencapai kemajuan. Hanya manusia berani akan bergerak dan menggerak yang lain. Hanya manusia berani yang benar-benar hidup dalam ertikata kehidupan.



I am new here teach me what to do ;]